Monday, November 09, 2009

Tip penjagaan kanak-kanak - Anak yang menangis

Dalam kita menjaga manusia yang bernama kanak-kanak, terutamanya anak kecil, kadang kala kita berhadapan dengan situasi anak yang begitu kuat menangis. Melalaknya seperti kena pukul, padahal kita tidak memukulnya. Bila mendengar begitu, perasaan kita pasti akan cepat berubah dari kasihan kepada panik, kepada geram dan sebagainya.

Ini naluri normal kita sebagai orang dewasa. Kita merasakan bahawa menangis itu sesuatu yang tidak normal dan harus dihentikan serta-merta.

Tetapi haruslah diingatkan bahawa anak kita tidak pula fikir begitu. Bagi kebanyakan anak yang belum pandai bercakap, menangis itu adalah cara komunikasi utamanya. Dia berasa lapar, dahaga, kesakitan, mengantuk, kembung perut, kepanasan, kesejukan, tidak selesa, gatal di mana-mana, takut, atau setakat mahu dipegang seseorang, semuanya akan dikomunikasikan melalui tangisan. Kerana itu sahaja cara komunikasi yang dia tahu.

Oleh itu kita janganlah cepat rasa bosan atau geram dengan tangisan anak. Jangan anggap bahawa apabila dia cukup makan, minum dan tidur, dia seharusnya tidak menangis lagi. Periksalah betul-betul sama ada terdapat apa-apa yang menyakitinya. Cara yang paling mudah - buka bajunya dan periksa (sesetengah anak menangis apabila lampinnya tidak ditukar). Kita akan dapat melihat dengan lebih teliti sama ada terdapat sesuatu yang menyakitinya.

Jika anak masih juga menangis walaupun sudah diperiksa, walaupun tidak demam bawalah berjumpa dengan doktor. Manalah tahu sama ada anak itu sakit yang kita tidak nampak (seperti colic) dan sebagainya.

Sesungguhnya keselamatan anak itu lebih penting dari segalanya. Apalah sangat harga rundingan doktor itu (jika anak kita rupanya tidak sakit apa-apa), berbanding keselamatan dirinya jika dia memang sakit dan kita tidak tahu mengenainya dan membiarkannya melarat.

No comments:

Post a Comment