Tuesday, November 24, 2009

Happy Birthday Imran

Sabtu, 21hb November 2009, Imran berumur 6 tahun. Dia seorang anak yang bijak dan suka membaca. Dia amat patuh akan segala arahan yang diberikan kepadanya, suka membantu dan cukup petah bercakap. Saya gemar melayannya kerana ada sahaja cerita baru yang ingin diceritakan kepada saya. Bukan apa, lagi banyak dia bercakap, bermakna dia lebih banyak berimaginasi dan belajar cara untuk meluahkan perasaan dan buah fikirannya. Saya sukakan cara yang begitu. Insyaallah tidak lama nanti dia akan tahu apa yang dia mahukan dalam hidupnya serta dapat pula meluahkannya.

Kesemua guru-guru di sini ingin mengucapkan SELAMAT HARI JADI IMRAN, semoga diberkati, dirahmati dan menjadi Muslim yang berjaya suatu hari nanti. INSYAALLAH.

Happy Birthday Sofea


Jumaat, 20hb November 2009, ibu Sofea telah membekalkan kek bagi menyambut hari lahir Sofea yang ke-3. Walaupun ianya disambut secara serdahana, tetapi cukup meriah. Ada ibu bapa yang terpaksa menunggu seketika kerana anak-anak mereka ingin bersama-sama memeriahkan majlis tersebut.

Kami ingin mengucapkan SELAMAT HARI JADI SOFEA, semoga sentiasa diberkati, dirahmati dan menjadi Muslimah yang berjaya suatu hari nanti. INSYALLAH.

Biena / Chiara Kakak yang Penyayang

Biena / Chiara pelajar Sekolah Rendah Convent Bukit Nenas. Masing-masing berusia 9 dan 8 tahun dan merupakan pasangan kakak yang sangat penyayang. Mereka amat perihatin dengan keadaan adik-adik di sekeliling mereka.

Kadang kala Biena akan bermain dengan Zahra’ (1 tahun) dan Chiara pula suka bermain dengan Ashman (11 bulan). Mereka juga tidak kekok menyanyi dan bercerita bersama adik-adik yang lain.

Ashman Ehsan Sudah Pandai Berjalan


Seronok betul bila dapat melihat ‘First Steps’ seorang anak. Ashman baru berumur 11 bulan tapi sudah mula berjalan. Sebelum ini dia selalunya akan merangkak mengekori ke mana sahaja cikgunya pergi. Tetapi pada hari minggu lalu, adalah minggu yang bersejarah bagi Ashman, beliau dapat melangkah 29 tapak dengan bangganya.

Pada masa yang sama, Ashman juga sudah memiliki 6 batang gigi. 4 di atas, 2 di bawah. Jadi, bila Ashman tersenyum, sekarang tidaklah nampak gigi bawahnya sahaja. Dia juga sudah sedikit demi sedikit berubah dari seorang yang terlampau manja kepada seorang yang sangat independent. Dia suka bermain dengan rakan sebaya dan kanak-kanak yang lebih besar, dan bukan lagi hanya melekat di bawah ketiak cikgu.

Kenapa Lama Blog Ini Sepi

Maaf kerana sudah lama tidak menulis di dalam blog ini. Saya baru sahaja selesai terlibat dalam pembikinan buku terjemahan ‘The Leader in Me’ hasil nukilan STEPHEN COVEY. Penulis terkenal yang telah menghasilkan buku-buku seperti ‘The 7 Habits of Highly Effective People’ dan ‘First Things First’.

Buku ini mengisahkan bagaimana caranya sekolah-sekolah di serata dunia menerapkan nilai-nilai kepimpinan di dalam diri kanak-kanak dan orang muda. Banyak pengajaran yang saya dapati sewaktu terlibat dalam pembikinan terjemahan buku ini. Dan saya berharap akan dapat mengguna pakai apa yang saya pelajari agar nilai-nilai kepimpinan dan karakter terpuji dapat diterapkan ke dalam diri anak-anak di bawah jagaan kami.

Monday, November 09, 2009

Tip penjagaan kanak-kanak - Anak yang menangis

Dalam kita menjaga manusia yang bernama kanak-kanak, terutamanya anak kecil, kadang kala kita berhadapan dengan situasi anak yang begitu kuat menangis. Melalaknya seperti kena pukul, padahal kita tidak memukulnya. Bila mendengar begitu, perasaan kita pasti akan cepat berubah dari kasihan kepada panik, kepada geram dan sebagainya.

Ini naluri normal kita sebagai orang dewasa. Kita merasakan bahawa menangis itu sesuatu yang tidak normal dan harus dihentikan serta-merta.

Tetapi haruslah diingatkan bahawa anak kita tidak pula fikir begitu. Bagi kebanyakan anak yang belum pandai bercakap, menangis itu adalah cara komunikasi utamanya. Dia berasa lapar, dahaga, kesakitan, mengantuk, kembung perut, kepanasan, kesejukan, tidak selesa, gatal di mana-mana, takut, atau setakat mahu dipegang seseorang, semuanya akan dikomunikasikan melalui tangisan. Kerana itu sahaja cara komunikasi yang dia tahu.

Oleh itu kita janganlah cepat rasa bosan atau geram dengan tangisan anak. Jangan anggap bahawa apabila dia cukup makan, minum dan tidur, dia seharusnya tidak menangis lagi. Periksalah betul-betul sama ada terdapat apa-apa yang menyakitinya. Cara yang paling mudah - buka bajunya dan periksa (sesetengah anak menangis apabila lampinnya tidak ditukar). Kita akan dapat melihat dengan lebih teliti sama ada terdapat sesuatu yang menyakitinya.

Jika anak masih juga menangis walaupun sudah diperiksa, walaupun tidak demam bawalah berjumpa dengan doktor. Manalah tahu sama ada anak itu sakit yang kita tidak nampak (seperti colic) dan sebagainya.

Sesungguhnya keselamatan anak itu lebih penting dari segalanya. Apalah sangat harga rundingan doktor itu (jika anak kita rupanya tidak sakit apa-apa), berbanding keselamatan dirinya jika dia memang sakit dan kita tidak tahu mengenainya dan membiarkannya melarat.

Thursday, November 05, 2009

Mendidik Anak Mengikut Ibnu Khaldun

Ibu Khaldun melarang guru atau ibu bapa mendidik dengan kekerasan kerana kekerasan menjadikan anak-anak pemalas, pembohong dan berpura-pura kerana ingin menyembunyikan perkara yang sebenar. Sifat ini akan menjadi kebiasaan dan hilang sifat kemanusiaan.

Dalam bukunya Muqaddimah Ibn Khaldun, beliau menyebut:

"Kekerasan itu menjadikan mereka malas dan mendorong mereka berbohong serta kecilikan". Yakni tindak tanduk mereka adalah berbeza dengan apa yang difikirkan, sebabnya ialah mereka berasa takut didera sekiranya mereka mengatakan sesuatu yang benar" (Ibn Khaldun 1993:776)

Elyas Lim Ming Terk – Bakal Pendakwah


Anak comel ini bernama Elyas Lim Ming Terk. Panggil saja Ming Terk berumur 4 ½ tahun sangat ramah dan cepat mesra. Hari pertama datang ke mari, tak sempat Maknya bangun untuk beredar, dia sudah mula menyanyi untuk cikgu-cikgu. Lagu kegemarannya ialah Tong Hua yang bermaksud Cinta Arjuna.

Ming Terk seorang yang bijak berinternet! Percaya atau tidak, dia yang ajar saya guna YouTube! Masa makan adalah masa yang sangat digemari oleh Ming Terk. Apabila pinggannya hampir kosong, dia akan memberikan senyuman yang manis kepada cikgu yang melayannya makan. Tandanya Ming Terk nak nasi tambah... Senyuman Ming Terk selalu membuatkan cikgu-cikgu di sini cair.

Apabila ditanya bila besar nanti apa cita-citanya? Dia akan menjawab; “Nak jadi Pendakwah, macam Ayah!”. Waahh, mulianya cita-cita anak comel ini. Saya hanya boleh berdoa agar cita-cita Ming Terk menjadi kenyataan satu hari nanti... Insyallah!

Humairah Lim Ming Huey – Malu Tapi Mahu


Ini adik Ming Terk. Nama manjanya Ming Huey. Berumur 3 ½ tahun. Seorang yang suka berceloteh. Setiap kali dia bertanyakan sesuatu, kami mesti akan memintanya mengulangi soalan yang diberikan. Bukan apa, Ming Huey cakap laju sangat.

Ming Huey suka apabila cikgu membelai rambutnya, tetapi dia tidak akan membiarkan rambutnya didandan. Dia rimas. Hanya untuk masa lima minit pertama, dandannya akan cantik di kepala, selepas itu, kembali seperti biasa.

Ming Huey suka mewarna dan lihat sahaja hasilnya sungguh menarik. Ming Huey selalu cakap tak nak makan! Tapi apabila disuap, mesti nak tambah lagi.

Agak sukar untuk mendekati Ming Huey pada mulanya. Kawan-kawan yang lain juga dapat merasainya. Tetapi apabila Ming Huey melihat keriangan kawan-kawan di sini, dia pun mestilah nak join sama!

Farhain Humairah - Pandai Membaca


Humairah ini anak Imam 2 Surau Ampang Jaya. Seorang yang suka bertanya. Tanda-tanda budak bijak. Apa saja yang dia nampak, dia akan tanya. Apa saja yang terlintas dikepalanya, dia mesti akan ceritakan.

Menurut ceritanya, Humairah sudah khatam Al-Quran. Dia mula mengaji seawal umur 2 ½ tahun. Dia juga pandai membaca. Selalu juga saya suruh dia bacakan buku cerita kepada saya.

Tapi Humairah susah nak makan. Setiap hari selepas balik dari sekolah dia akan mengambil masa yang lama untuk menghabiskan makanannya. Semenjak kebelakangan ini saja dia makan cepat sedikit. Sebabnya, lepas makan ada solat Dzohor berjemaah. Ini wajib untuk anak-anak yang berumur dari 2 tahun ke atas! Jadi Humairah tidak terkecuali.

Sudut Bacaan Kami

Kami di Bonda DayCare baru 3 hari mengujudkan satu sudut baru iaitu sudut bacaan. Alhamdulillah, Sudut Bacaan ini telah mendapat sambutan diluar jangkaan. Anak-anak di sini seronok membaca (bagi yang belum tahu membaca pun akan memegang buku juga!) Kami memang menggalakkan anak-anak ini membaca buku.


“Kanak-kanak yang boleh membaca buku seawal umur 4 tahun akan mempunyai lebih pengetahuan berbanding dengan kanak-kanak yang mula membaca pada umur 7 tahun.”

-Prof. Madya. Mahzan Arshad, Pusat Pendidikan Kanak-kanak Universiti Malaya

Oleh itu, saya berpegang kepada kata-kata ini untuk memberikan sebanyak pengetahuan yang boleh kepada anak-anak di pusat jagaan ini melalui pembacaan dan bacaan.

Tuesday, November 03, 2009

Cuti Hari Raya Qurban

Dengan hormatnya kami ingin memaklumkan bahawa sempena Hari Raya Qurban, pusat penjagaan Bonda DayCare akan bercuti dari hari Khamis, 26 November 2009. Kami akan beroperasi seperti biasa pada hari Isnin, 30 November 2009.

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha

Tip Penjagaan Kanak-kanak – Minat atau Bakat?

Ahli psikologi dahulu berpendapat bahawa seseorang itu patut membina kerjaya di dalam bidang atau perkara yang dia minat. Itu pendapat orang dulu-dulu.

Ahli psikologi zaman sekarang pula berpendapat bahawa minat itu suatu perkara yang terlalu mudah berubah dan dipengaruhi faktor luaran seperti rakan sebaya, ahli keluarga dan sebagainya. Anak-anak terutamanya selalunya akan terikut-ikut minat ibu bapa atau abang kakaknya. Oleh sebab itu, ahli psikologi zaman sekarang berpendapat bahawa lebih wajar jika seseorang itu mengasah dan memperkembangkan bakatnya. Mudah-mudahan bakat ini boleh dijadikan kerjaya atau punca rezeki kelak. Setidak-tidaknya, mungkin bakat seorang anak itu Tuhan berikan untuk menghiburkan hati orang sekelilingnya.

Bakat itu anugerah Tuhan, dan semua orang itu pasti mempunyai lebih daripada satu bakat. Cuma kita selalunya tidak sedar akan bakat yang ada. Sebab itulah jika anak-anak ada menunjukkan bakat di dalam sebarang perkara, baik menulis, melukis, kerja kraf atau kerja tangan, nyanyian atau tarian sekalipun ibu bapa janganlah ambil mudah bakat mereka. Pujilah mereka dan pupuklah bakat mereka itu kerana sebenarnya ia satu anugerah dari Tuhan. Tetapi jangan pula tidak ambil pusing dengan minat mereka pula.