Tuesday, November 24, 2009

Happy Birthday Imran

Sabtu, 21hb November 2009, Imran berumur 6 tahun. Dia seorang anak yang bijak dan suka membaca. Dia amat patuh akan segala arahan yang diberikan kepadanya, suka membantu dan cukup petah bercakap. Saya gemar melayannya kerana ada sahaja cerita baru yang ingin diceritakan kepada saya. Bukan apa, lagi banyak dia bercakap, bermakna dia lebih banyak berimaginasi dan belajar cara untuk meluahkan perasaan dan buah fikirannya. Saya sukakan cara yang begitu. Insyaallah tidak lama nanti dia akan tahu apa yang dia mahukan dalam hidupnya serta dapat pula meluahkannya.

Kesemua guru-guru di sini ingin mengucapkan SELAMAT HARI JADI IMRAN, semoga diberkati, dirahmati dan menjadi Muslim yang berjaya suatu hari nanti. INSYAALLAH.

Happy Birthday Sofea


Jumaat, 20hb November 2009, ibu Sofea telah membekalkan kek bagi menyambut hari lahir Sofea yang ke-3. Walaupun ianya disambut secara serdahana, tetapi cukup meriah. Ada ibu bapa yang terpaksa menunggu seketika kerana anak-anak mereka ingin bersama-sama memeriahkan majlis tersebut.

Kami ingin mengucapkan SELAMAT HARI JADI SOFEA, semoga sentiasa diberkati, dirahmati dan menjadi Muslimah yang berjaya suatu hari nanti. INSYALLAH.

Biena / Chiara Kakak yang Penyayang

Biena / Chiara pelajar Sekolah Rendah Convent Bukit Nenas. Masing-masing berusia 9 dan 8 tahun dan merupakan pasangan kakak yang sangat penyayang. Mereka amat perihatin dengan keadaan adik-adik di sekeliling mereka.

Kadang kala Biena akan bermain dengan Zahra’ (1 tahun) dan Chiara pula suka bermain dengan Ashman (11 bulan). Mereka juga tidak kekok menyanyi dan bercerita bersama adik-adik yang lain.

Ashman Ehsan Sudah Pandai Berjalan


Seronok betul bila dapat melihat ‘First Steps’ seorang anak. Ashman baru berumur 11 bulan tapi sudah mula berjalan. Sebelum ini dia selalunya akan merangkak mengekori ke mana sahaja cikgunya pergi. Tetapi pada hari minggu lalu, adalah minggu yang bersejarah bagi Ashman, beliau dapat melangkah 29 tapak dengan bangganya.

Pada masa yang sama, Ashman juga sudah memiliki 6 batang gigi. 4 di atas, 2 di bawah. Jadi, bila Ashman tersenyum, sekarang tidaklah nampak gigi bawahnya sahaja. Dia juga sudah sedikit demi sedikit berubah dari seorang yang terlampau manja kepada seorang yang sangat independent. Dia suka bermain dengan rakan sebaya dan kanak-kanak yang lebih besar, dan bukan lagi hanya melekat di bawah ketiak cikgu.

Kenapa Lama Blog Ini Sepi

Maaf kerana sudah lama tidak menulis di dalam blog ini. Saya baru sahaja selesai terlibat dalam pembikinan buku terjemahan ‘The Leader in Me’ hasil nukilan STEPHEN COVEY. Penulis terkenal yang telah menghasilkan buku-buku seperti ‘The 7 Habits of Highly Effective People’ dan ‘First Things First’.

Buku ini mengisahkan bagaimana caranya sekolah-sekolah di serata dunia menerapkan nilai-nilai kepimpinan di dalam diri kanak-kanak dan orang muda. Banyak pengajaran yang saya dapati sewaktu terlibat dalam pembikinan terjemahan buku ini. Dan saya berharap akan dapat mengguna pakai apa yang saya pelajari agar nilai-nilai kepimpinan dan karakter terpuji dapat diterapkan ke dalam diri anak-anak di bawah jagaan kami.

Monday, November 09, 2009

Tip penjagaan kanak-kanak - Anak yang menangis

Dalam kita menjaga manusia yang bernama kanak-kanak, terutamanya anak kecil, kadang kala kita berhadapan dengan situasi anak yang begitu kuat menangis. Melalaknya seperti kena pukul, padahal kita tidak memukulnya. Bila mendengar begitu, perasaan kita pasti akan cepat berubah dari kasihan kepada panik, kepada geram dan sebagainya.

Ini naluri normal kita sebagai orang dewasa. Kita merasakan bahawa menangis itu sesuatu yang tidak normal dan harus dihentikan serta-merta.

Tetapi haruslah diingatkan bahawa anak kita tidak pula fikir begitu. Bagi kebanyakan anak yang belum pandai bercakap, menangis itu adalah cara komunikasi utamanya. Dia berasa lapar, dahaga, kesakitan, mengantuk, kembung perut, kepanasan, kesejukan, tidak selesa, gatal di mana-mana, takut, atau setakat mahu dipegang seseorang, semuanya akan dikomunikasikan melalui tangisan. Kerana itu sahaja cara komunikasi yang dia tahu.

Oleh itu kita janganlah cepat rasa bosan atau geram dengan tangisan anak. Jangan anggap bahawa apabila dia cukup makan, minum dan tidur, dia seharusnya tidak menangis lagi. Periksalah betul-betul sama ada terdapat apa-apa yang menyakitinya. Cara yang paling mudah - buka bajunya dan periksa (sesetengah anak menangis apabila lampinnya tidak ditukar). Kita akan dapat melihat dengan lebih teliti sama ada terdapat sesuatu yang menyakitinya.

Jika anak masih juga menangis walaupun sudah diperiksa, walaupun tidak demam bawalah berjumpa dengan doktor. Manalah tahu sama ada anak itu sakit yang kita tidak nampak (seperti colic) dan sebagainya.

Sesungguhnya keselamatan anak itu lebih penting dari segalanya. Apalah sangat harga rundingan doktor itu (jika anak kita rupanya tidak sakit apa-apa), berbanding keselamatan dirinya jika dia memang sakit dan kita tidak tahu mengenainya dan membiarkannya melarat.

Thursday, November 05, 2009

Mendidik Anak Mengikut Ibnu Khaldun

Ibu Khaldun melarang guru atau ibu bapa mendidik dengan kekerasan kerana kekerasan menjadikan anak-anak pemalas, pembohong dan berpura-pura kerana ingin menyembunyikan perkara yang sebenar. Sifat ini akan menjadi kebiasaan dan hilang sifat kemanusiaan.

Dalam bukunya Muqaddimah Ibn Khaldun, beliau menyebut:

"Kekerasan itu menjadikan mereka malas dan mendorong mereka berbohong serta kecilikan". Yakni tindak tanduk mereka adalah berbeza dengan apa yang difikirkan, sebabnya ialah mereka berasa takut didera sekiranya mereka mengatakan sesuatu yang benar" (Ibn Khaldun 1993:776)

Elyas Lim Ming Terk – Bakal Pendakwah


Anak comel ini bernama Elyas Lim Ming Terk. Panggil saja Ming Terk berumur 4 ½ tahun sangat ramah dan cepat mesra. Hari pertama datang ke mari, tak sempat Maknya bangun untuk beredar, dia sudah mula menyanyi untuk cikgu-cikgu. Lagu kegemarannya ialah Tong Hua yang bermaksud Cinta Arjuna.

Ming Terk seorang yang bijak berinternet! Percaya atau tidak, dia yang ajar saya guna YouTube! Masa makan adalah masa yang sangat digemari oleh Ming Terk. Apabila pinggannya hampir kosong, dia akan memberikan senyuman yang manis kepada cikgu yang melayannya makan. Tandanya Ming Terk nak nasi tambah... Senyuman Ming Terk selalu membuatkan cikgu-cikgu di sini cair.

Apabila ditanya bila besar nanti apa cita-citanya? Dia akan menjawab; “Nak jadi Pendakwah, macam Ayah!”. Waahh, mulianya cita-cita anak comel ini. Saya hanya boleh berdoa agar cita-cita Ming Terk menjadi kenyataan satu hari nanti... Insyallah!

Humairah Lim Ming Huey – Malu Tapi Mahu


Ini adik Ming Terk. Nama manjanya Ming Huey. Berumur 3 ½ tahun. Seorang yang suka berceloteh. Setiap kali dia bertanyakan sesuatu, kami mesti akan memintanya mengulangi soalan yang diberikan. Bukan apa, Ming Huey cakap laju sangat.

Ming Huey suka apabila cikgu membelai rambutnya, tetapi dia tidak akan membiarkan rambutnya didandan. Dia rimas. Hanya untuk masa lima minit pertama, dandannya akan cantik di kepala, selepas itu, kembali seperti biasa.

Ming Huey suka mewarna dan lihat sahaja hasilnya sungguh menarik. Ming Huey selalu cakap tak nak makan! Tapi apabila disuap, mesti nak tambah lagi.

Agak sukar untuk mendekati Ming Huey pada mulanya. Kawan-kawan yang lain juga dapat merasainya. Tetapi apabila Ming Huey melihat keriangan kawan-kawan di sini, dia pun mestilah nak join sama!

Farhain Humairah - Pandai Membaca


Humairah ini anak Imam 2 Surau Ampang Jaya. Seorang yang suka bertanya. Tanda-tanda budak bijak. Apa saja yang dia nampak, dia akan tanya. Apa saja yang terlintas dikepalanya, dia mesti akan ceritakan.

Menurut ceritanya, Humairah sudah khatam Al-Quran. Dia mula mengaji seawal umur 2 ½ tahun. Dia juga pandai membaca. Selalu juga saya suruh dia bacakan buku cerita kepada saya.

Tapi Humairah susah nak makan. Setiap hari selepas balik dari sekolah dia akan mengambil masa yang lama untuk menghabiskan makanannya. Semenjak kebelakangan ini saja dia makan cepat sedikit. Sebabnya, lepas makan ada solat Dzohor berjemaah. Ini wajib untuk anak-anak yang berumur dari 2 tahun ke atas! Jadi Humairah tidak terkecuali.

Sudut Bacaan Kami

Kami di Bonda DayCare baru 3 hari mengujudkan satu sudut baru iaitu sudut bacaan. Alhamdulillah, Sudut Bacaan ini telah mendapat sambutan diluar jangkaan. Anak-anak di sini seronok membaca (bagi yang belum tahu membaca pun akan memegang buku juga!) Kami memang menggalakkan anak-anak ini membaca buku.


“Kanak-kanak yang boleh membaca buku seawal umur 4 tahun akan mempunyai lebih pengetahuan berbanding dengan kanak-kanak yang mula membaca pada umur 7 tahun.”

-Prof. Madya. Mahzan Arshad, Pusat Pendidikan Kanak-kanak Universiti Malaya

Oleh itu, saya berpegang kepada kata-kata ini untuk memberikan sebanyak pengetahuan yang boleh kepada anak-anak di pusat jagaan ini melalui pembacaan dan bacaan.

Tuesday, November 03, 2009

Cuti Hari Raya Qurban

Dengan hormatnya kami ingin memaklumkan bahawa sempena Hari Raya Qurban, pusat penjagaan Bonda DayCare akan bercuti dari hari Khamis, 26 November 2009. Kami akan beroperasi seperti biasa pada hari Isnin, 30 November 2009.

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha

Tip Penjagaan Kanak-kanak – Minat atau Bakat?

Ahli psikologi dahulu berpendapat bahawa seseorang itu patut membina kerjaya di dalam bidang atau perkara yang dia minat. Itu pendapat orang dulu-dulu.

Ahli psikologi zaman sekarang pula berpendapat bahawa minat itu suatu perkara yang terlalu mudah berubah dan dipengaruhi faktor luaran seperti rakan sebaya, ahli keluarga dan sebagainya. Anak-anak terutamanya selalunya akan terikut-ikut minat ibu bapa atau abang kakaknya. Oleh sebab itu, ahli psikologi zaman sekarang berpendapat bahawa lebih wajar jika seseorang itu mengasah dan memperkembangkan bakatnya. Mudah-mudahan bakat ini boleh dijadikan kerjaya atau punca rezeki kelak. Setidak-tidaknya, mungkin bakat seorang anak itu Tuhan berikan untuk menghiburkan hati orang sekelilingnya.

Bakat itu anugerah Tuhan, dan semua orang itu pasti mempunyai lebih daripada satu bakat. Cuma kita selalunya tidak sedar akan bakat yang ada. Sebab itulah jika anak-anak ada menunjukkan bakat di dalam sebarang perkara, baik menulis, melukis, kerja kraf atau kerja tangan, nyanyian atau tarian sekalipun ibu bapa janganlah ambil mudah bakat mereka. Pujilah mereka dan pupuklah bakat mereka itu kerana sebenarnya ia satu anugerah dari Tuhan. Tetapi jangan pula tidak ambil pusing dengan minat mereka pula.

Tuesday, October 27, 2009

Hand, Foot and Mouth Disease

Penyakit ini merupakan antara penyakit yang amat mudah berjangkit di kalangan kanak-kanak bawah umur 10 tahun. Di antara lainnya, ia boleh merebak melalui sentuhan secara langsung dan berkongsi peralatan atau permainan yang sama. Simptom-simptom biasa penyakit ini adalah demam panas, kesakitan atau gatal-gatal di bahagian mulut, tangan dan kaki. Walau bagaimanapun virus ini boleh juga berada di dalam badan seseorang pesakit tanpa menunjukkan sebarang simptom.

Doktor menyatakan bahawa setakat ini tidak ada vaksin atau ubat untuk melawan virus itu sendiri (seperti demam dan selsema) tetapi ubat boleh melegakan simptom-simptom penyakit tersebut i.e. ubat gatal untuk merawat gatal-gatalnya, ubat demam untuk merawat suhu badan yang panas dan sebagainya.

Untuk maklumat tambahan mengenai penyakit ini layari laman web Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia di http://www.dph.gov.my/survelans/PDF%20Fact%20Sheet/HFMD%20FAQ.pdf

Thursday, October 22, 2009

Aziz & Aleeyah


Aziz dan Aleeyah merupakan kawan baik. Mereka bermain bersama, berehat bersama, makan bersama, minum pun kadang kala Aleeyah yang akan berikan cawan pada Aziz. Hari ini, Atuk Aleeyah pergi Haji. Oleh itu, Aleeyah tidak ke sini hari ini. Aziz jadi mati kutu. Satu hari ini, langsung tidak nampak Aziz mengacau orang. Aziz main bersendirian sahaja. Kebiasaannya Aziz mesti bermain dengan Aleeyah.

Hari ini, apabila Cikgu membacakan buku cerita kepada semua anak-anak. Aziz duduk berdiam sahaja. Bila ditanya kenapa, Aziz tunduk. Sebabnya Aleeyah tidak ada...

Insyallah, esok Aleeyah datang. Bermulalah episod Aziz dan kawan baiknya Aleeyah... seperti biasa, makan bersama, berehat bersama, minum bersama dan main sama-sama.Dan kita akan mendengar lagi Aleeyah berkata, "Aziz wat (sakat) Aleeyah..."

Kakak Nadyne - Qualities of A Leader


Wan Nadyne @ Nadyne @ Kakak Nadyne seorang yang periang dan manja. Terutama apabila dia menyapa atau memanggil Cikgu-cikgunya. Setiap pagi datang ke sini mesti tersenyum. Susah hendak melihat dia menangis.

Apa yang saya nampak Nadyne mempunyai qualities of a leader dalam dirinya. Kita hanya perlu ajar dia membuat sesuatu sekali sahaja. Sepelas itu dia pasti akan ajar orang lain buat perkara yang sama. Selalunya selepas mandi, saya akan memberitahu Nadyne supaya mengeringkan rambut betul-betul barulah sikat rambut agar tidak terkena jangkitan selsema. Dia pula akan memberitahu adik-adik yang lain supaya membuat perkara yang sama dan memberitahu sebab yang sama juga.

Dia seorang yang sangat bijak walaupun baru berumur 4 tahun. Kerja-kerja yang diberikan kepadanya sentiasa siap dan kemas. Pilihan warna yang digunakan untuk hasil kerja lukisannya menunjukkan bahawa dia seorang yang matang.

Wednesday, October 21, 2009

Tip Penjagaan Kanak-kanak - Memberi ganjaran

Sewaktu kecil anak-anak masih belum faham akan konsep dosa, pahala, syurga dan neraka. Oleh itu untuk membiasakan konsep berbuat baik ini kami berikan ganjaran-ganjaran kecil kepada mereka setiap kali melakukan sesuatu yang patut diberi ganjaran. Dengan itu, mudah-mudahan anak kecil itu akan faham yang mana satu elok dan yang mana tidak elok. Contohnya cikgu hanya akan bacakan cerita apabila sudah kemas barang permainan dan makan dahulu sebelum bermain (sebab makan itu suatu yang anak kecil tidak faham kepentingannya).

Mudah-mudahan bukan sahaja anak kecil ini akan faham yang mana satu baik dan buruk tetapi pandai pula menyelesaikan sesuatu kerja dahulu sebelum menikmati sesuatu.

Tetapi, jika ganjaran-ganjaran material pula yang diberikan ie. gula-gula, sagu hati wang ringgit, barang permainan, dan sebagainya kita perlu hati-hati untuk menghentikannya sebaik sahaja anak-anak faham apa itu baik buruk. Takut nanti anak itu sentiasa pula menantikan ganjaran tersebut sehingga meningkat dewasa.

Monday, October 19, 2009

Muhammad Nabil & Muhammad Asyraaf Menyapu Laman



Hampir setiap pagi Muhammad Nabil (4thn) dan Muhammad Asyraaf (2thn) akan membantu membersihkan laman Bonda Daycare. Anak-anak yang lain juga kadang kala diberi tugas-tugas ringan seperti membantu cuci pinggan sendiri, mengemas barang permainan setelah digunakan dan sebagainya.

Kami percaya bahawa tanggungjawab yang ringan begini akan membantu membentuk keperibadian anak-anak di sini insyaallah, agar mereka menjadi ahli masyarakat yang sentiasa proaktif dan tidak segan memikul tanggungjawab kelak.

Sunday, October 18, 2009

Aktiviti Harian - Membuat Kolaj


Semalam di dalam kelas seni mereka, anak-anak di Bonda Daycare sempat belajar bagaimana menghasilkan kolaj yang mudah. Anak-anak yang berumur 2 tahun pun turut serta di dalam kelas tersebut. Cukup seronok dan berbangga mereka mempertontonkan hasil kerja mereka di hadapan lensa kamera.

Thursday, October 15, 2009

Zafran tidak puas main di luar


Zafran seorang kanak-kanak yang cukup istimewa. Mengingatkan saya kepada anak saya sendiri, Asyraaf. Mereka berdua ini memang buat kepala sendiri sahaja. Memang susah sedikit hendak mendengar cakap. Bukan tak mahu dengar langsung tapi "tunggu dulu, saya belum habis lagi cikgu." Nasib baiklah keduanya memang berhati baik dan bertimbang rasa.

Hari ini Zafran tidak puas bermain di luar. Dari pagi sehingga hampir waktu tidur dia di luar. Tapi bila tiba waktu tidur terpaksalah masuk juga.

Wednesday, October 14, 2009

Happy birthday Cikgu Zura


Kesemua kanak-kanak di Bonda Daycare mengucapkan Happy Birthday bagi Cikgu Zura yang dikasihi. Semoga Allah panjangkan usia dan murahkan rezeki Cikgu Zura. Tetapi memandangkan semua terkejut sebab tidak diberitahu, dapat kek kecil sahajalah.

Insyaallah hujung bulan ini kami raikan birthday Cikgu Zura dalam keadaan yang lebih proper.

Tuesday, October 13, 2009

Fatimah Az-Zahra bertatih


Zahra baru berumur 1 tahun. Seorang yang ceria dan senang didekati. Dia baru bertatih. Seorang yang cukup suka makan. Ape sahaja yang orang lain makan, dia mesti nak tumpang sekaki. Don't judge a book by its cover. Lebih kurang kalau kakak boleh makan, takkan saya tidak boleh.

Hari ini first time Zahra bertatih sebanyak enam tapak dari Cikgu Zura kepada Ibunya. Seronok melihat Zahra membesar....


Monday, October 12, 2009

WELCOME TO BONDA DAYCARE

Selamat datang ke bonda daycare. Catatan harian seorang ibu yang pertama kali cuba menjalankan bisnes. Insyaallah ada rezeki saya di sini. Cita-cita menjalankan pusat jagaan ini sudah lama terpendam di hati sehinggakan membawa saya ke UM untuk belajar secara formal bagaimana untuk menjaga kanak-kanak dengan baik dan profesional.
Dari bangku sekolah lagi sebenarnya saya sudah biasa menjaga anak-anak saudara. Maklumlah adik paling kecil, Mak Su, memanglah kena buli sikit. Tapi dari situlah timbul keseronokan menjaga kanak-kanak. The rest is history.
Sekarang bermulalah babak baru di dalam kehidupan saya. Pusat jagaan ini baru saya mulakan kira-kira 2 bulan yang lalu. Sekarang ini masih lagi di peringkat fine tune jadual dan operasi kerja staf dan sebagainya. Berbekalkan ilmu yang ada, insyaallah saya akan pastikan kanak-kanak di sini sentiasa riang, sihat dan dijaga dengan baik.

Welcome Lilyrose Nizam


Hari ini hari pertama buat Lilyrose Nizam di Bonda Daycare. Umurnya baru 59 hari. Comel sangat. Matanya bulat. Hidungnya mancung dan bibirnya kecil. Tapi wajahnya pasti akan banyak berubah lagi dalam masa beberapa bulan akan datang. Ibu bapanya pasti akan menangkap lebih banyak gambarnya sebagai kenangan.